MEREKA adalah wanita yang sanggup mengorbankan masa, tenaga, buah fikiran demi mencari formula dan menghasilkan penemuan baru yang dapat memberi manfaat kepada manusia sejagat. Kegigihan golongan wanita ini memang sukar dinilai dengan kata-kata mahupun wang ringgit, usaha mereka diibaratkan seperti menanam padi yang hasilnya akan dituai dan dinikmati bersama seluruh penduduk.
Bagi menggalakkan lagi golongan wanita menceburi bidang sains dan penciptaan, L'Oreal dan Unesco telah memberikan Anugerah Biasiswa L'Oreal untuk tiga lagi wanita pada tahun ini.
"Saingan yang diterima pada tahun ini amat sengit dan kami para juri berhadapan dengan cabaran untuk memilih tiga wanita dari bidang sains untuk menerima anugerah ini," ujar Profesor Asmah Ismail selaku ketua juri yang bertindak sebagai pemilih pemenang anugerah tersebut.
Beliau juga tidak menafikan bidang yang dipilih ketiga-tiga pemenang itu adalah yang bermanfaat untuk manusia.
Pepatah mengatakan wang bukanlah segalanya namun realitinya segala-galanya memerlukan wang. Apatah lagi jika kita berbicara tentang soal kaji selidik yang melibatkan pelbagai eksperimentasi, tenaga, uji kaji, dan pelbagai lagi jenis ujian yang amat perlu bagi menghasilkan satu uji kaji atau penemuan terbaik yang bermanfaat untuk semua. Semua itu bukan melibatkan jumlah wang yang sedikit.
Pengalaman menulis sebanyak 10 buah kertas kerja selama setahun adalah segelintir dari rentetan kisah seorang saintis wanita dari Universiti Sains Malaysia (USM) dalam usaha untuk mendapatkan dana atau tajaan demi kajiannya.
Dr. Widad Ismail, yang juga seorang pensyarah kanan di fakulti kejuruteraan elektrik dan elektronik Universiti Sains Malaysia (USM) mengakui bukan senang untuk meyakinkan pihak swasta untuk menaja kajian yang dilakukan bersama kumpulannya.
"Dalam hal ini saya akui duit adalah segalanya, memang susah untuk mendapatkan dana tajaan untuk memulakan satu kajian. Saya perlu melakukan penerangan sacara teliti kepada syarikat yang berpotensi untuk menaja dan menerangkan kepada mereka bahawa projek yang saya akan lakukan tersebut memberikan kesan atau impak yang baik untuk negara," jelas ibu kepada tiga cahaya mata ini.
Mengimbas tentang pengalaman beliau sebagai pelajar, Dr. Widad berkata, bukan mudah bergelar ibu dan pada masa yang sama bekerja dan belajar. Widad yang berkahwin ketika melanjutkan pelajarannya di United Kingdom pada tahun 1999 penuh optimis dengan keputusannya untuk memegang gelaran, isteri, ibu, pelajar dan pekerja dalam satu masa. Tindakan Widad nyata memberikan satu tanggapan positif bagi wanita yang menganggap status sebagai penghalang untuk mencapai kejayaan.
"Bila dikenang balik memang rasa macam sukar percaya, namun itulah hakikatnya yang saya telah mencapai tahap ini. Pengalaman pahit itu satu perkara yang normal dan yang penting kita mempunyai sokongan keluarga dan rakan di sekeliling yang sudi membantu dalam apa jua situasi," ujar wanita kelahiran Kedah ini.
Widad yang memang sejak kecil bercita-cita untuk menjadi saintis memberitahu minatnya dalam bidang tersebut bercambah apabila melihat banyak penciptaan sains dan teknologi yang telah mengubah dunia.
"Sebab itu saya mendapat motivasi untuk menjalankan projek identifikasi teknologi dengan frekuensi radio sebagai salah satu agenda teknologi terpantas dan bakal digunakan pada tahun 2010.
Objektif utama projek yang saya jalankan ini adalah untuk memudahkan pihak hospital dengan menggunakan aplikasi pintar bagi mengurangkan melakukan kesilapan, mempertingkatkan keselamatan pesakit serta mengurangkan beban pihak berkuasa. Selain itu projek ini juga mempercepatkan proses pengurusan, pendaftaran dan segalanya berkaitan perkhidmatan kesihatan," jelas Widad yang mendapat tajaan RM20,000 untuk projeknya.
Seorang lagi penerima anugerah, Chong Pan Pan, dari Universiti Malaya, Kuala Lumpur akan memanfaatkan biasiswa yang diterimanya untuk kajian perubatan bagi masalah lutut dan peha.
"Dengan adanya biasiswa ini saya yakin kajian saya akan menemui kejayaan. Dengan menggunakan sel stem penyakit osteoarthritis boleh dielakkan dari berlaku pada usia muda, impian ini akan saya buktikan dalam masa lima tahun dari sekarang," ujarnya yang kini sedang melanjutkan pelajaran dalam bidang PhD di Fakulti Perubatan Universiti Malaya.
Kisah Pan Pan dalam bidang sains memang menarik, ketika di bangku sekolah, gurunya pernah berkata kepada ayat berikut 'kalau miskin tak semestinya pendidikan kita juga 'miskin', jangan biarkan seorang kanak-kanak miskin walau anda sendiri pada ketika itu tidak mempunyai apa-apa'. Maksudnya begitu mendalam dan membuatkan dia mahu menjadi seorang yang berguna untuk orang lain.
Bagi Pan Pan, dia tidak menghadapi banyak masalah ketika menjalankan kajian dan yakin usaha dan pengurusan diri serta masa yang betul menjadi kunci kepada kejayaan.
"Cuma kadangkala kajian saya menjadi agak perlahan kerana kurangnya geran yang diberikan, jadi dengan adanya biasiswa ini diharap ia menjadi pemacu kepada kejayaan projek saya," ujarnya.
Dr. Lim Kue Peng adalah seorang saintis di Pertubuhan Kajian Inisiatif Kanser. Kajian Kue Peng dilihat praktikal di kala bertambahnya pesakit kanser di Malaysia setiap tahun.
"Atas sebab itulah maka terdorongnya saya untuk menjadi seorang saintis. Bagi saya kes kanser yang meningkat tiap tahun perlu dikurangkan dan untuk tujuan itu maka lebih ramai saintis yang diperlukan untuk mencari ubatnya," jelasnya.
Kue Peng juga berpendapat saintis adalah satu kerjaya yang membolehkan dia berbakti kepada masyarakat.
"Apabila kita faham tentang sesuatu penyakit dengan lebih mendalam, kita berpeluang untuk mencegah dan mengubatnya. Dengan terpilihnya saya untuk biasiswa ini ia sebagai penyuntik semangat untuk saya lakukan terbaik demi masyarakat," jelasnya.
Anugerah Wanita Dalam Sains ini telah dilancarkan pada tahun 2006 oleh L'Oreal dengan kerjasama Suruhanjaya UNESCO. Ia turut mendapat kerjasama dengan Akademi Sains Malaysia, Kementerian Sains Teknologi dan Inovasi serta Kementerian Pengajian Tinggi.
sumber dari utusan malaysia online
p/s: waaaaaaaa..... bangganya bila kaum wanita berjaya jadi saintis..... bkan saintis biasa tp dah diiktiraf.... bagus2.... moga ada banyak lagi kaum wanita yang berjaya seperti mereka... amin...
No comments:
Post a Comment